Pengawal keselamatan, teman lelaki ditahan kes cabul murid dalam tandas sekolah

Iklan
Seorang pengawal keselamatan wanita sebuah sekolah di daerah ini, bersama teman lelakinya ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian cabul murid perempuan, pada Selasa lalu. Gambar hiasan

REMBAU - Seorang pengawal keselamatan wanita sebuah sekolah di daerah ini, bersama teman lelakinya ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian cabul seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sekolah berkenaan, Selasa lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, penahanan suspek berusia 22 dan 25 tahun itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa anaknya telah dirogol.

Iklan
Iklan

"Pada 7 Oktober lalu, jam lebih kurang 8.06 malam, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya telah dirogol oleh seorang lelaki di dalam tandas sekolah.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 9.36 pagi semasa murid itu pergi ke tandas untuk membuang air," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, berikutan itu, pengawal keselamatan sekolah berkenaan bersama teman lelakinya telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Jelas beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Tunku Jaafar di Seremban untuk pemeriksaan lanjut, namun didapati tiada kejadian rogol berlaku, sebaliknya disyaki cubaan rogol.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati, tiada unsur rogol berlaku terhadap mangsa dan dia hanya dicabul semasa di dalam tandas sekolah.

"Kedua-dua suspek telah direman tujuh hari bermula 8 Oktober hingga 14 Oktober ini dan kes disiasat di bawah Sesyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.