[VIDEO] PATI warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara

Iklan

SEREMBAN - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya awal bulan ini.

Tertuduh Tha Hnin Sang,19, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman.

Iklan
Iklan

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Cung Tha Lian yang berusia 25 tahun.

Iklan

Kesalahan terbabit dilakukan pada 3 Oktober 2025, antara jam 8.46 malam hingga 11.41.malam di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Lingkaran Tengah di sini.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

Tha Hnin Sang (tengah) di bawa polis ke mahkamah

Sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Sekiranya dijatuhkan hukuman mati, perlu dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi tidak menawarkan jaminan.

Majistret menetapkan 10 Disember untuk sebutan semula kes.

Sementara itu dalam prosiding berasingan, tertuduh telah dihukum satu bulan penjara selepas mengaku bersalah masuk ke negara ini tanpa dokumen atau pas yang sah mengikut segi undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 Oktober 2025, jam 6.50 pagi di Kampung Tersusun Mutiara Galla, Seremban.

Terdahulu tertuduh merayu dikenakan hukuman minimum dan memberitahu baru empat bulan masuk ke negara ini serta bekerja di sebuah bengkel kenderaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshafatihah bt Nor Azmi