KUALA LUMPUR - Peralatan dan aset yang lebih canggih selari dengan keperluan semasa diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras jenayah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu diharap dapat menjadi perhatian kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2026 hari ini.
"Keperluan ini amat penting bagi PDRM untuk mempertingkatkan diri dalam penugasan pada masa-masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Bilangan 13 Siri 1/2025 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Mohd Khalid berkata, kerajaan sering memberikan tumpuan dalam kesejahteraan rakyat khususnya PDRM.
"Kami (penjawat awam) menerima banyak manfaat, banyak perubahan terutama sekali dari segi tangga gaji.
“Perhatian juga telah diberikan kerajaan terhadap keperluan dari segi penugasan seperti teknologi dan logistik (perumahan),” katanya.
Terdahulu, menerusi istiadat yang berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur itu, seramai 345 Inspektor Percubaan telah berjaya menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor selama sembilan bulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.
Ia merupakan belanjawan keempat yang dibentang oleh Kerajaan Madani pimpinan beliau dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.