KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas yang ditemukan meninggal dunia di Pantai Batu Buruk di sini pada petang Khamis dipercayai mengalami masalah kemurungan.
Mangsa dikenali sebagai Soh Eng Sin, 74, dari Padang Midin, Kuala Terengganu ditemukan orang awam kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki berbangsa Cina itu jam 5.34 petang.
"Maklumat diterima melalui panggilan MERS 999 memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring di tepi pantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah pada tubuh si mati," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati isteri mangsa, Lim Ai Lee, memaklumkan suaminya keluar rumah sekitar jam 10 pagi untuk ke Pantai Batu Buruk bersama seorang rakan dikenali sebagai Ah Kok.
"Mangsa meminta rakannya menurunkannya di hadapan sebuah restoran makanan segera dan berjanji akan menghubungi semula apabila mahu pulang.
"Namun selepas jam 2 petang, mangsa tidak pulang ke rumah menyebabkan isterinya berasa bimbang lalu meminta jiran serta adiknya mencari di sekitar pantai, namun gagal menemukannya," katanya.
Beliau berkata, isteri mangsa dimaklumkan bahawa suaminya telah ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan pantai berkenaan sekitar jam 5.30 petang,
"Isteri mangsa turut memberitahu mangsa sebelum ini berada dalam keadaan murung kerana menghidap penyakit kanser prostat dan darah tinggi," katanya.
Azli berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
"Proses bedah siasat mangsa dijadualkan dijalankan jam 8.30 pagi pada Jumaat," katanya.