SHAH ALAM - Sifat peramah dan suka berborak bukan sahaja menjadikan seorang lelaki disenangi ramai, malah turut membantu proses pemulihannya selepas diserang strok ringan empat tahun lalu.
Anaknya, Muhammad Danial Farhan Zoul, 26, berkata, bapanya yang kini berusia 57 tahun telah pulih dan kembali aktif hasil semangat positif serta kebiasaan berinteraksi dengan orang sekeliling.
“Ayah memang suka berbual. Empat tahun lepas, dia terkena strok ringan dan antara sebab cepat sembuh ialah kerana sifatnya yang suka bersembang.
“Apabila berinteraksi, dia rasa gembira dan dalam masa sama melatih pertuturan. Alhamdulillah, sekarang ayah sihat sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Muhammad Danial yang bekerja sebagai jurukur, sikap mudah mesra itu sudah sebati dalam diri bapanya sejak dahulu lagi.
Beliau memberitahu, setiap kali berbicara dengan individu baharu, sikap bapanya sentiasa mendapat sambutan baik dan tidak pernah menghadapi reaksi negatif.
“Pantang jumpa orang, mesti dia tegur dulu. Orang pun layan dia baik-baik.
“Macam baru-baru ini, semasa kami sekeluarga bersiar-siar di taman selepas makan malam, tiba-tiba ayah hilang. Rupanya dia sedang berbual dengan pekerja yang membaiki paip bawah tanah,” ujarnya.
Tambahnya, dia sangat mengagumi bapanya yang sentiasa membuatkan orang sekeliling gembira dan berasa selesa.
“Cara dia menegur pun baik, saya lihat ayah mudah untuk berkawan.
“Dia memang jenis yang suka menceriakan suasana dan senang melihat orang lain gembira,” katanya.
Danial berkata, dia dan keluarga bersyukur kerana bapanya kini kembali sihat dan mampu menguruskan perniagaan seperti biasa selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang.
“Bagi kami, sifat positif dan suka bergaul dengan masyarakat banyak membantu memulihkan semangat serta emosi untuk terus sihat,” ujarnya.