Mayat lelaki ditemui terapung di tali air Lahar Ikan Mati

Iklan
Anggota bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui terapung di dalam tali air di Lahar Ikan Mati pada Khamis.

KEPALA BATAS – Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kawasan tali air di Lahar Ikan Mati, di sini pada petang Khamis.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Lutfi bin Abdullah, 54, dan disahkan meninggal dunia sebelum pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengangkat mayat tersebut dari dalam tali air berkenaan.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada polis mengenai penemuan mayat itu pada jam 1.05 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, kami menjalankan penilaian awal sebelum bertindak mengangkat mangsa menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap.

Iklan

“Operasi dijalankan dengan berhati-hati dan mayat mangsa berjaya dibawa naik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.37 petang tanpa sebarang insiden lain dilaporkan.

Iklan

Difahamkan, berdasarkan keadaan mayat yang telah mengembung, mangsa dipercayai telah berada di dalam tali air terbabit kira-kira dua hari sebelum ditemui.

Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk tujuan bedah siasat.