FAMA rai kejayaan La Fruta tembusi pasaran Jordan dengan nilai eksport lebih RM364,000

Iklan
Aminuddin (lima dari kiri) dan Abdul Rashid (lima dari kanan) bergambar bersama pekerja pengurusan FAMA dan wakil La Fruta di Majlis Flag Off Pengeksportan Produk Syarikat La Fruta Food Industries Sdn Bhd ke Pasaran Jordan di Kota Kemuning, Shah Alam pada Khamis.

​SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Rabu meraikan kejayaan syarikat La Fruta Food Industries Sdn Bhd dalam memperluas perniagaan eksport sekali gus menembusi pasaran baharu di rantau Timur Tengah.

Syarikat di bawah bimbingan FAMA itu buat pertama kali membuat hantaran eksport ke Jordan dengan nilai berjumlah RM364,316.35.

Iklan
Iklan

Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, sebanyak sembilan produk unit penyimpanan stok (SKU) dihantar melalui kontena kapal laut termasuk nanas dan mangga.

“Penghantaran ini menandakan penembusan pasaran seterusnya bagi syarikat tersebut di Timur Tengah, selepas berjaya menembusi Kuwait, Arab Saudi, Qatar dan Libya.

Iklan

Aminuddin dalam sidang media Majlis Flag Off Pengeksportan Produk Syarikat La Fruta Food Industries Sdn Bhd ke Pasaran Jordan di Kota Kemuning, Shah Alam pada Khamis.

“FAMA secara tidak langsung terlibat di peringkat awal melalui promosi, termasuk membawa syarikat menyertai pameran antarabangsa dan membantu dari segi pembungkusan serta pelabelan.

Iklan

“Pelancaran sebegini diharap dapat meluaskan pasaran dan FAMA akan memainkan peranan menarik minat pengeluar buah-buahan tempatan terutama mangga, markisa, nangka, buah naga dan nanas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Majlis Flag Off Pengeksportan Produk Syarikat La Fruta Food Industries Sdn Bhd ke Pasaran Jordan di Kota Kemuning di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri; Pengarah Urusan La Fruta Food Industries Sdn Bhd, Emily Siew Teen dan Pengurus Makanan dan Perkhidmatan La Fruta Food Industries Sdn Bhd, Richard Low.

Ujar Aminuddin, FAMA akan terus memperkukuh strategi kerjasama dengan pemain industri bagi memastikan produk tempatan mampu menembusi lebih banyak pasaran luar negara.

“Strategi utama FAMA adalah menjalin kerjasama erat dengan pihak industri dan menyesuaikan produk mengikut permintaan sebenar pasaran di Timur Tengah kerana cita rasa pengguna berbeza mengikut negara.

“Perkongsian maklumat pasaran adalah penting. Selain itu, FAMA bersama agensi di bawah kementerian lain turut melaksanakan kempen bagi meningkatkan pengeluaran secara terancang dan menawarkan insentif berdasarkan fokus pengeluaran tertentu di samping berkongsi piawaian kualiti yang diperlukan.

“Kebersamaan ini memastikan kelangsungan pemasaran dan pengeluaran buah-buahan tempatan diterima sama ada dalam atau luar negara," ujarnya.

Aminuddin membunyikan hon sebagai isyarat merasmikan Majlis Flag Off Pengeksportan Produk Syarikat La Fruta Food Industries Sdn Bhd ke Pasaran Jordan di Kota Kemuning, Shah Alam pada Khamis.

Syarikat yang terkenal dengan jenama Fruttose itu menghasilkan produk hiasan berasaskan buah-buahan (topping) dan telah memperoleh pelbagai pensijilan termasuk Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Halal, Good Manufacturing Practise (GMP) dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP).

Melangkah ke hadapan, La Fruta Food Industries sedang melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk baharu berasaskan buah-buahan tempatan seperti durian dan pisang berangan untuk pasaran eksport ke China dan Korea.

FAMA turut akan bekerjasama menyediakan kemudahan fasiliti di Pusat Memproses Makanan FAMA Rengit bagi menyokong pengeluaran produk jem berasaskan buah yang sedang dirancang syarikat tersebut.