Selangor cadang cukai jualan vape disalur kepada kerajaan negeri, PBT

Iklan
Kerajaan Selangor cadang hasil cukai vape disalur kepada PBT untuk penguatkuasaan dan pendidikan awam - Gambar hiasan, gambar kecil: Jaamliah

Agihan itu juga membolehkan tindakan penguatkuasaan dan program advokasi dilaksanakan secara menyeluruh, proaktif dan berkesan

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mencadangkan agar sebahagian hasil cukai daripada penjualan produk rokok elektronik atau vape disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan penguatkuasaan serta pendidikan awam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, langkah itu penting bagi memastikan hasil cukai yang dikutip dapat dimanfaatkan secara langsung untuk mengurus serta menangani kesan negatif penjualan dan penggunaan vape.

Iklan
Iklan

“Jika ini tidak dilaksanakan, cukai yang dikutip tidak akan memberi impak secara langsung dalam melancarkan tindakan penguatkuasaan, terutamanya apabila PBT kekurangan sumber dan tenaga kerja untuk membendung penjualan vape secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan kerajaan Persekutuan untuk menaikkan kadar cukai terhadap cecair nikotin vape sebanyak 10 kali ganda berbanding kadar sedia ada seperti diumumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Parlimen baru-baru ini.

Iklan

Menurut Jamaliah, agihan hasil cukai itu juga membolehkan tindakan penguatkuasaan dan program advokasi dilaksanakan secara menyeluruh, proaktif dan berkesan.

“Antara tindakan yang boleh dilaksanakan termasuk operasi bersepadu terhadap premis menjual vape secara haram, program kesedaran komuniti serta penyediaan rawatan pemulihan bagi mereka yang ketagihan nikotin,” katanya.

Iklan

Mengulas lanjut kenyataan Lukanisman, Jamaliah berkata, kerajaan negeri mengambil maklum hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperketatkan kawal selia terhadap produk vape demi melindungi golongan remaja dan masyarakat umum daripada risiko kesihatan serius.

Katanya, pendirian kerajaan negeri mengenai isu vape akan ditentukan berdasarkan keputusan kerajaan Persekutuan bagi memastikan dasar kawalan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara seragam dan berkesan di semua peringkat pentadbiran.

“Sekiranya kerajaan Persekutuan memberi tumpuan terhadap aspek penguatkuasaan sebelum pelaksanaan pengharaman sepenuhnya, kerajaan Selangor akan memberikan kerjasama penuh dalam pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta 852,” ujarnya.

Beliau turut menggesa KKM mempertimbangkan satu mekanisme kolaboratif antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT dalam pengawalan vape dengan mengambil kira pandangan serta keperluan tempatan.

“Kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi membendung penjualan dan penggunaan vape secara berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.