MELAKA - Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas dipercayai dilanggar motosikal melawan arus di lampu isyarat berhampiran Penjara Sungai Udang di sini pada malam Rabu.
Dalam kejadian jam 7.50 malam, mangsa, Mohd Huzaimi Abdul Hamid, 44, yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Bertam Setia menuju ke tempat kerjanya di Loji Penapisan Sungai Udang.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang Muhammad Arif Farhan Nawawi, 21, dipercayai telah melawan arus dari arah Taman Desa Taming Sari menuju ke persimpangan lampu isyarat itu.
"Akibatnya motosikal pemuda itu bertembung dengan motosikal mangsa dan akibat perlanggaran kuat itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
"Muhammad Arif mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke zon merah Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Ujarnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.