Komunikasi semua kapal misi FFC terputus jam 10.03 pagi – MyCARE

Iklan
Dr Kamal Nasharuddin ketika sidang akhbar perkembangan misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) pada Rabu.

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Hubungan komunikasi dengan kesemua sembilan kapal misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza terputus pada jam 10.03 pagi waktu Malaysia.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, kesemua kapal telah dirampas secara haram oleh rejim Zionis Israel termasuk kapal yang membawa sembilan delegasi Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lapan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience manakala seorang lagi di atas kapal Umm Saad.

“Kami mula terputus hubungan komunikasi dengan semua kapal pada pukul 10.03 pagi waktu Malaysia. Kapal pertama, Sun Bird di bawah Thousand Miles to Gaza (TMTG) telah ditangkap sekitar titik 120 batu nautika, diikuti lapan kapal lain termasuk Conscience.

Iklan

“Kapal terakhir yang dipintas ialah Umm Saad,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan misi tersebut di sini pada Rabu.

Beliau berkata, lapan wakil Malaysia di atas kapal Conscience ialah Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakirah Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Iklan

Katanya, seorang lagi rakyat Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.

Sehubungan itu, Kamal berkata, MyCARE mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif Israel yang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga mencabuli hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.

“Tindakan menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan termasuk bantuan perubatan untuk rakyat Gaza adalah satu perbuatan yang tidak berasas dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Tambah beliau, MyCARE sedang berhubung dengan pihak berkuasa antarabangsa, rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) serta keluarga delegasi Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai nasib kesemua aktivis yang terlibat.

“Mungkin ahli keluarga akan datang ke sini (pejabat MyCARE). Kita juga sediakan tempat di sini untuk ahli keluarga mendapatkan perkembangan lanjut.

“Kita akan bantu sebaik mungkin agar ahli keluarga berasa selesa walaupun keadaan sukar, kita akan bantu sebaik mungkin,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan Israel dan menyatakan komitmen kerajaan untuk membantu para peserta misi.

Misi pelayaran FFC × TMTG yang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan yang menggesa agar peperangan serta krisis kebuluran dihentikan dan menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.

Kapal terbesar, Conscience, membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.