[VIDEO] MPV sarat bawa dadah RM13 juta dipintas di lebuh raya

Iklan

IPOH - Tindakan pantas pasukan peronda lebuh raya (EMPV) memintas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mencurigakan membongkar cubaan menyeludup lebih 385 kilogram (kg) dadah dalam satu kejadian di Slim River, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, anggota EMPV Zon Utara 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang menjalankan rondaan sebelum mengesan MPV jenis Honda Stream dipandu laju di Kilometer 375 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, apabila diminta berhenti, pemandu kenderaan itu terus memecut laju menyebabkan berlaku aksi mengejar suspek sejauh dua kilometer.

Menurutnya, kenderaan itu akhirnya berhenti di tepi lebuh raya, namun pemandu dan seorang penumpang hadapan sempat bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Iklan

"Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan 15 guni berisi 374kg dadah jenis methamphetamine dan satu bungkusan plastik hitam mengandungi 11.28kg heroin base yang diletakkan di bahagian but dan tempat duduk MPV

"Nilai pasaran keseluruhan dadah dianggarkan RM13 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.

Iklan

Noor Hisam berkata, jumlah dadah tersebut boleh digunakan oleh lebih 3.7 juta penagih dan dipercayai diseludup dari utara negeri untuk edaran sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan membungkus dadah dalam bentuk produk makanan untuk mengaburi pihak berkuasa dan masyarakat.

"Siasatan juga mendapati kenderaan tersebut didaftarkan atas nama seorang wanita.

"Kita akan memanggil pemilik kenderaan berkenaan untuk membantu siasatan bagi mengetahui hubungannya dengan dua suspek yang melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, usaha memburu kedua-dua suspek sedang giat dijalankan termasuk penjejakan di kawasan hutan tempat mereka meloloskan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam pengedaran dadah atau melindungi aktiviti ini yang merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-2087222.