Aktivis GSF lambang keberanian, solidariti Malaysia untuk Gaza

Iklan
23 wira, wirawati negara yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

 

 

Iklan
Iklan

SUASANA penuh hiba menyambut kepulangan 23 aktivis Malaysia daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF) selepas mereka ditahan tentera rejim Zionis ketika pelayaran ke Gaza.

Perjalanan perjuangan mereka bukanlah sekadar ekspedisi simbolik, ia membawa makna mendalam kepada masyarakat Malaysia yang menyokong hak Palestin.

Iklan

Aktivis-aktivis ini bertindak sebagai suara kemanusiaan, menyeru agar penderitaan rakyat Gaza tidak dilupakan selain negara luar tidak alpa terhadap konflik yang berlarutan.

Keberanian mereka meredah lautan, menghadapi risiko dan dikurung oleh rejim Zionis menggambarkan komitmen tinggi kepada prinsip keadilan yang sering dikumandangkan namun sukar dicapai.

Iklan

Sambutan kepulangan mereka disifatkan setaraf wira dan wirawati apabila keluarga, sahabat dan rakan perjuangan berhimpun di terminal ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan laungan takbir serta tepukan gemuruh sebagai penghargaan atas keberanian mereka.

Bagi segelintir masyarakat, aktivis GSF ini bukan sekadar sukarelawan tetapi cerminan idealisme generasi muda yang tidak takut melawan arus.

Pengorbanan mereka memberi tekanan moral kepada kerajaan agar lebih lantang dalam menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa.

Kepulangan mereka memperlihatkan keberhasilan diplomasi negara dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia, sekali gus menegaskan tanggungjawab kerajaan terhadap keselamatan dan hak rakyat.

Masyarakat juga menantikan aktivis-aktivis ini tidak sekadar diraikan tetapi dilibatkan dalam strategi jangka panjang seperti pendidikan awam, advokasi kemanusiaan dan dialog politik berkesan yang dapat memperkuat suara Malaysia dalam isu Palestin.

Kerajaan diharap membuka ruang untuk mereka menyumbang kepada dasar luar negara agar perjuangan tidak berakhir setibanya di tanah air.

Detik malam ini bakal menjadi simbol perpaduan rakyat dalam solidariti terhadap nasib Gaza meskipun pulang dalam keadaan letih dan berdepan risiko, semangat mereka tetap membara.