WASHINGTON - Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Ro Khanna bersama lebih 20 anggota Demokrat dari California pada Isnin menggesa Presiden Donald Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio supaya mendesak Israel membebaskan rakyat Amerika yang ditahan selepas serangan ke atas Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa minggu lalu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Rubio, kumpulan itu termasuk bekas Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi memaklumkan bahawa 21 warga AS masih ditahan oleh Israel, termasuk empat warga California iaitu David Adler, Tommy Marcus, Geraldine Ramirez dan Logan Hollarsmith.
Adler, yang juga penyelaras bersama Progressive International menyertai flotila berkenaan sebagai sebahagian daripada misi untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
"Kami menyeru anda segera melakukan segala yang termampu untuk memastikan pembebasan rakyat AS ini serta menjamin layanan yang adil dan selamat terhadap mereka.
"Kami juga mendesak anda mengusahakan pembebasan segera dan selamat termasuk mengatur logistik penerbangan bagi mempercepatkan kepulangan warga AS yang berada dalam flotila dan masih ditahan di penjara Israel, termasuk penduduk California,” menurut kandungan surat itu.
Pasukan tentera laut Israel menyerang dan menawan kapal flotila di perairan antarabangsa Rabu lalu, menahan lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara.
Flotila berkenaan dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza serta mencabar sekatan yang dikenakan Israel terhadap wilayah terkepung terbabit.
Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza, wilayah yang menempatkan hampir 2.4 juta penduduk selama hampir 18 tahun. - Bernama/Anadolu