KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung pada program Mara Automotive Ecosystem (Matec) 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 31 Oktober ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, platform terbesar kepada pemain industri dan peminat bidang automotif itu dijangka mampu memperoleh transaksi jualan lebih RM50 juta berbanding tahun lalu.
"Matec 2024 memperoleh pencapaian yang memberangsangkan dengan berjaya mencatat transaksi jualan bernilai RM16.6 juta, selain melaksanakan lebih 330 sesi padanan perniagaan yang memberi impak positif terhadap jaringan industri automotif bumiputera serta menarik 26,550 pengunjung,
"Susulan kejayaan tersebut, Matec kali ini dijangka mampu memperoleh transaksi jualan melebihi RM50 juta dengan penambahan lebih 70 reruai pameran berbanding tahun lepas," katanya pada majlis prapelancaran Matec 2025 bersama media di sini pada Selasa.
Asyraf Wajdi berkata, penganjuran kali kedua itu merupakan usaha pihaknya dalam menyokong dan memperkukuh usahawan bumiputera dalam memacu industri automotif yang mampan termasuk teknologi kenderaan elektrik (EV).
"Ia membuka peluang besar di sepanjang rantaian nilai industri untuk meneroka teknologi baharu, memahami piawaian industri terkini, dan membina kerjasama strategik.
"Justeru itu kita mengetengahkan empat komponen meliputi pameran (B2C), padanan perniagaan (B2B), hab diagnosis, roda pengalaman (experiential wheel)," katanya.
Tambah beliau, penganjuran Matec kali ini menampilkan tema 'Charge The Hype' yang menggabungkan elemen teknologi automotif dengan gaya hidup permotoran.
"Selain itu ia menggabungkan modifikasi kreatif dan penglibatan Gen-Z dalam satu acara.
"Gabungan itu bakal menghidupkan suasana penuh tenaga, gaya dan keterujaan seperti mengecas budaya automotif dengan semangat baharu," katanya.
Asyraf Wajdi berkata, Mara telah melatih guna tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri automotif negara melalui institusi pendidikan TVET Mara serta memainkan peranan dalam menyokong industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dengan membangunkan usahawan EV.
Penganjuran Matec kali ini turut melibatkan kerjasama pelbagai rakan industri dan agensi strategik antaranya Petronas, EON, serta institusi kewangan dan agensi kerajaan berkaitan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).
Sebanyak 180 reruai pameran disusun mengikut segmen iaitu pengeluar kenderaan (OEN), vendor serta alat ganti kenderaan dan aksesori, Program Khas Automotif MARA, pameran dari rakan strategik dan agensi yang menyokong industri automotif.
Selain itu, pelbagai aktiviti permainan yang interaktif dan cabutan bertuah disediakan dengan hadiah bernilai tinggi termasuk motosikal dan barangan eksklusif.