LONDON - Seorang wanita yang pada mulanya menyangka dia menghidap apendiks terkejut selepas sakit yang dialaminya rupa-rupanya kerana mahu bersalin.
Megan Isherwood, 26, di Britain berkongsi detik cemas apabila dia melahirkan bayi lelaki di dalam ambulans tanpa mengetahui dirinya hamil pada awal September lalu memandangkan tiada gejala sedang mengandung sepanjang tempoh sembilan bulan.
"Saya mengalami sakit teruk pada bahagian kanan perut dan kemudiannya muntah darah. Paramedik yang memeriksa saya membuat diagnos awal ia mungkin gejala apendiks. Saya kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran.
"Keadaan bertambah panik apabila darah keluar tanpa henti hingga membasahi katil hospital. Saya dikelilingi kira-kira 15 doktor yang cuba mengenal pasti puncanya," ujarnya sambil menambah imbasan CT dan ultra bunyi akhirnya dilakukan.
Mereka terkejut apabila melihat kepala dan kaki bayi pada imej tersebut.
Isherwood sekali lagi berdepan detik mendebarkan apabila dibawa ke sebuah lagi hospital untuk proses kelahiran, namun tidak sempat tiba di kemudahan tersebut.
"Beberapa ahli paramedik membantu saya untuk bersalin di dalam ambulans," ujarnya ketika mengimbau semula momen ajaib tersebut.
Isherwood bersama bayi lelakinya dibawa ke Unit Rawatan Rapi Neonatal setelah kedua-duanya disahkan mengalami jangkitan bakteria.
Pada 25 September lalu, kedua-dua anak beranak itu akhirnya discaj dan dibenarkan pulang ke rumah. - Agensi