“BUKAN sebab kejar mewah. Tapi sekadar nak ‘survived’ untuk 30 hari mendatang.”
Itu realiti perit golongan berpendapatan pertengahan (M40) yang kini semakin terhimpit dengan tekanan kewangan dalam suasana ekonomi tidak menentu.
Dulu golongan M40 ini dianggap senang. Ada rumah sendiri, kereta sederhana dan gaji cukup untuk makan luar hujung minggu. Tapi sekarang sudah lain. Ada yang hidup hanya cukup-cukup makan - tidak cukup mewah seperti digambarkan.
Tinjauan Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2025 juga menunjukkan kemampuan M40 untuk menyimpan semakin merosot, sekali gus meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan lebih rentan berbanding golongan berpendapatan rendah (B40).
Kaji selidik itu mendedahkan, hanya 23 peratus responden M40 mampu menyimpan RM1,001 hingga RM1,500 sebulan, menurun daripada 29 peratus pada 2024.
Sebaliknya, bilangan mereka yang menyimpan kurang daripada RM500 melonjak kepada 39 peratus berbanding 31 peratus pada tahun lalu.
Lebih membimbangkan, daya tahan kewangan kumpulan ini juga semakin rapuh apabila hanya 27 peratus menyatakan mereka hanya mampu bertahan lebih enam bulan tanpa pendapatan, berbanding 32 peratus pada tahun sebelumnya.
Inflasi mungkin nampak kecil di atas kertas, tapi kesannya besar apabila sampai ke dapur rumah.
Harga beras, ayam, minyak masak dan sayur semua naik. Kalau dulu RM200 cukup untuk seminggu beli barang dapur, sekarang mungkin tahan tiga, empat hari saja. Itu belum lagi bagi mereka yang ada anak ramai.
Harga barang naik, tapi gaji pula tidak naik seiring. Ramai terpaksa korek simpanan atau swipe kad kredit untuk tampung keperluan harian.
Golongan M40 ini juga banyak tanggung komitmen besar - pinjaman rumah, kereta, insurans, pendidikan anak dan sebagainya. Bila kadar faedah naik, bayaran bulanan pun ikut meningkat.
Bagi mengimbangi kos sara hidup, M40 terpaksa mengurangkan perbelanjaan hiburan, makan di luar dan langganan bulanan. Sikit masa lagi mungkin makan pun akan bercatu!
Keperitan itu lebih terasa bagi M40 yang berada di bandar besar, mereka ini ‘miskin bandar’. Bukan hendak menafikan rezeki, tetapi hakikatnya itulah nasib dialami golongan ini.
Sejak pandemik melanda, keadaan makin mencabar. Ada yang hilang kerja tetap dan kini bergantung kepada kerja kontrak atau gig ekonomi. Dalam dunia sekarang, kalau tak pandai menyesuaikan diri dengan ekonomi digital, senang tercicir.
Kumpulan M40 ini pula sering ‘terpinggir di tengah-tengah’. Bukan senang, tapi tak cukup susah untuk dibantu. Tak cukup kaya juga untuk tanggung semua beban sendiri.
Kerajaan memang ada menyediakan pelbagai inisiatif seperti subsidi bersasar dan potongan cukai tertentu. Namun isu utama ialah pelaksanaannya adakala tak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Kerana itu juga, tekanan kewangan dalam kalangan dewasa kini menjadi salah satu penyumbang utama kepada masalah kesihatan mental seperti rasa gagal, hilang arah dan semangat.
Malangnya, ini isu yang sukar difahami. Nak cerita pada kawan, mereka pun sedang terhimpit. Saudara-mara pun mungkin bertahan dalam diam.
Kalau kumpulan ini terus terhimpit tanpa penyelesaian, kesannya bukan saja pada mereka tetapi pada keseluruhan ekonomi negara.
Sekarang bukan lagi soal siapa miskin atau kaya, tapi siapa yang masih mampu bertahan.
Justeru, Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini amat ditunggu-tunggu golongan M40.
Bagi penulis, Belanjawan 2026 bukan sekadar soal angka tetapi ia adalah peluang untuk menangani ketidakseimbangan struktur dan memberi kelegaan sebenar kepada rakyat.
Semoga ada khabar gembira buat golongan M40, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka.
*Azie Yahaya ialah Sub Editor Sinar Harian