DUN Sabah bubar, PRN17 jadi ujian kekuatan GRS

Iklan
Hajiji pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu pada Isnin.

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membuka tirai kepada satu lagi episod penting dalam landskap politik negeri itu.

Dengan pembubaran DUN ke-16, tumpuan kini beralih kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka menyaksikan persaingan lebih sengit berbanding pilihan raya terdahulu pada 2020.

Iklan
Iklan

Namun, berbeza dengan lima tahun lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kali ini tidak lagi tampil dengan kekuatan yang sama apabila dua parti komponennya iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) telah membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo masing-masing.

Seperti dijelaskan oleh Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun pada Khamis, tindakan itu menyebabkan kedua-dua parti berkenaan secara automatik tidak lagi menjadi sebahagian daripada gabungan tersebut.

Iklan

Keluarnya STAR dan SAPP daripada GRS dijangka memberi kesan ketara terhadap corak pengundian di Sabah, terutama di kawasan yang menjadi kubu kuat kedua-dua parti tersebut.

Kehilangan dua parti itu bermakna GRS kini berdepan cabaran untuk mengekalkan penguasaan kerusi di kawasan-kawasan tersebut, memandangkan undi pro-kerajaan berisiko berpecah antara calon GRS dan bekas sekutunya.

Iklan

Dari sudut persepsi rakyat, pembubaran DUN ini sudah tentu memberi peluang kepada pengundi Sabah untuk menilai semula prestasi kerajaan sedia ada selepas hampir lima tahun mentadbir.

GRS kini perlu bekerja lebih keras untuk mempertahankan sokongan di tengah-tengah persepsi bahawa gabungan itu semakin longgar akibat perpecahan dalaman.

Namun begitu, perpecahan dalam GRS mungkin tidak sepenuhnya memusnahkan peluang mereka, tetapi ia lebih kepada menambah ketidakpastian dan menjadikan keputusan PRN17 sukar dijangka.

Selain STAR dan SAPP, GRS turut dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Secara keseluruhan, PRN Sabah Ke-17 bakal menjadi medan ujian sebenar keutuhan GRS dan kepimpinan Hajiji. Kehilangan STAR dan SAPP bukan sekadar mengurangkan jumlah parti komponen, tetapi juga simbolik kepada cabaran dalam mengekalkan perpaduan politik di Sabah.

Jika GRS gagal merapatkan barisan atau menguruskan strategi pembahagian kerusi dengan berhemah, PRN kali ini berpotensi menyaksikan keputusan lebih terbuka, dengan kemungkinan munculnya semula kuasa politik baharu atau kembalinya Parti Warisan (Warisan) sebagai kuasa utama negeri di bawah bayangan perpecahan gabungan sedia ada.