Mintah mahu cipta impak bersama Harimau Malaya

Iklan
Mintah (kanan) dipanggil memperkuat skuad Harimau Malaya untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos. Foto: Sabah FC

PENYERANG naturalisasi baharu Harimau Malaya, Jordan Mintah bertekad mahu memberikan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara apabila pertama kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Mintah yang kini beraksi bersama Kuching City FC, menyifatkan panggilan itu sebagai satu penghormatan besar dan berjanji untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dengan aksi penuh komitmen dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.

Iklan
Iklan

“Saya akan cuba buktikan kualiti di skuad kebangsaan. Apa yang penting, kami perlu bekerja keras bersama-sama untuk membawa negara ke hadapan.

"Kami berjuang untuk Malaysia, jadi kami perlu berikan seratus peratus dan membuatkan negara bangga,” katanya.

Iklan

Untuk rekod, pemain berusia 30 tahun tersebut sah menjadi rakyat Malaysia selepas proses naturalisasinya selesai pada Ogos lalu.

Mintah merupakan pemain naturalisasi Malaysia yang kesembilan selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Romel Morales, Paulo Josue dan Endrick dos Santos.

Iklan

Kehadirannya dijangka menambah bisa di jentera serangan Harimau Malaya selepas kehilangan beberapa pemain warisan yang tidak dapat beraksi kerana digantung susulan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain warisan tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Skuad kendalian Peter Cklamovski bakal berdepan Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 dengan perlawanan pertama dijadual berlangsung di Vientiane pada Khamis ini sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober.