SHAH ALAM – Kepulangan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke tanah air bakal disambut ibarat wira pada Selasa.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurut Sani Araby, kepulangan delegasi Malaysia tersebut dijangka tiba pada jam 9.45 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Alhamdulillah, dengan izin ALLAH, SNCC memanjangkan makluman dan jemputan kepada semua pihak penyokong serta rakan media ke majlis sambutan kepulangan wira Sumud Nusantara Malaysia pada 7 Oktober ini, Selasa jam 9.45 malam di KLIA,” katanya dalam kenyataan itu.
Ketika ini, Sani Araby bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berada di Istanbul bagi bertemu dengan 23 sukarelawan berkenaan.
Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengamanahkannya untuk membantu mempermudahkan segala urusan sukarelawan Malaysia di Istanbul dan membawa mereka pulang dengan selamat.
“Kepulangan mereka kelak bukanlah pengakhiran kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin, tetapi menjadi lambang bagaimana negara kecil seperti Malaysia ini tetap utuh dengan prinsipnya serta memiliki rakyat yang berani berhadapan dengan kekejaman kuasa besar.
“Pohon doa rakyat dan sahabat semua untuk keselamatan kepulangan wira dan wirawati negara,” katanya pada Isnin.
Menurut Ahmad Farhan, hampir keseluruhan sukarelawan berada dalam keadaan sihat dan akan dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin.
“Malah, mereka kelihatan stabil dan bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin.
“Semangat mereka sukar untuk saya gambarkan. Kebanyakan aktivis terpaksa membuang telefon bimbit mereka ke laut kerana bimbang ia jatuh ke tangan rejim. Oleh itu, mereka kini berada di Istanbul jauh daripada keluarga tanpa telefon bimbit,” katanya