KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang memiliki 19 rekod lampau berkaitan dadah antara tujuh individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam penularan beberapa video dan kenyataan berunsur hasutan, ugutan dan penghinaan terhadap pemimpin negara di aplikasi TikTok dan Facebook sejak 17 September hingga 5 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman membabitkan tujuh akaun media sosial berbeza.
"Antara kes terbabit termasuk komen dan hantaran berbaur hasutan, penghinaan serta ugutan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
"Kes disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
M Kumar berkata, kesemua suspek direman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan.
"Semakan mendapati seorang daripada suspek berusia 40-an mempunyai 19 rekod lampau berkaitan dadah dan seorang lagi berusia 60-an pernah disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.
Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menimbulkan kegentaran awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhemah dan bertanggungjawab ketika membuat sebarang kenyataan di media sosial bagi mengelak tindakan undang-undang,” katanya.