IPOH – Semua pembinaan pondok pengawal di kawasan perumahan bukan strata dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kini diwajibkan mendapat kelulusan rasmi bagi memastikan pelaksanaannya sah dan teratur.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, langkah itu selaras dengan garis panduan baharu yang diperkenalkan MBI bagi mengawal pembinaan pondok pengawal serta penubuhan komuniti berpagar dan berpengawal di kawasan perumahan bukan strata.
Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan selepas menerima pelbagai aduan berkaitan pertikaian caj, perbezaan pandangan serta ketegangan hubungan kejiranan yang timbul akibat pelaksanaan komuniti berpagar tanpa kebenaran.
"Isu utama yang sering timbul ialah apabila sekatan dibuat di laluan awam menyebabkan sesetengah penduduk atau orang ramai tidak dapat akses masuk.
"Ini menimbulkan pertikaian dalam kalangan komuniti," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke pondok pengawal di Meru Valley, di sini pada Isnin.
Sandrea menjelaskan, berdasarkan undang-undang sedia ada, sekatan atau halangan di jalan awam hanya boleh dilakukan dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Menurutnya, bagi memperkemas pelaksanaan, MBI kini melaksanakan beberapa langkah utama iaitu mewajibkan semua pondok pengawal mendapat kelulusan rasmi, menjalankan pemetaan status pondok pengawal sedia ada di seluruh kawasan MBI serta penyelarasan bersama agensi berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Semua permohonan perlu dikemukakan oleh persatuan penduduk berdaftar dengan persetujuan sekurang-kurangnya 85 peratus penduduk.
"Permohonan lengkap akan dinilai oleh jabatan dan agensi terlibat dan keputusan boleh diketahui dalam tempoh sebulan," katanya.
Tambahnya, setakat ini empat permohonan telah diterima daripada persatuan penduduk di Ipoh, namun semuanya masih dalam proses semakan dan belum diluluskan kerana perlu memenuhi beberapa ulasan tambahan daripada MBI serta agensi lain.
Sandrea turut menegaskan bahawa keselamatan komuniti tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri, namun ia mesti dicapai melalui cara yang sah, adil dan tidak menjejaskan perpaduan kejiranan.
Menurutnya, pengalaman dan maklum balas daripada pelaksanaan garis panduan di bawah MBI juga akan dijadikan projek perintis sebelum diperluas sebagai garis panduan peringkat negeri.
Dalam pada itu, Sandrea menasihatkan semua persatuan penduduk supaya memohon kelulusan terlebih dahulu sebelum membina pondok pengawal bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang dan memastikan keselamatan kejiranan terjamin secara teratur.