Penunggang motosikal maut rempuh kereta berhenti tengah jalan

Iklan
Mangsa maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta yang berhenti di tengah jalan berikutan kesesakan lalu lintas.

JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal maut sementara pemboncengnya cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 5, Jalan Skudai, Pantai Lido menghala ke Skudai pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.10 malam apabila motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang sedang berhenti di tengah jalan berkenaan kerana keadaan lalu lintas yang agak sibuk.

Iklan
Iklan

“Hasil siasatan mendapati, kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun telah berhenti di lorong tengah setelah kenderaan di hadapannya turut berhenti.

“Secara tiba-tiba, sebuah motosikal jenis Yahama 15ZR datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kereta tersebut.

Iklan

“Impak perlanggaran tersebut menyebabkan kereta yang dilanggar telah terdorong ke hadapan dan melanggar bahagian belakang sebuah lagi kereta jenis Honda Jazz di hadapannya yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai operator kilang,” katanya.

Tambahnya, akibat kemalangan ini, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Iklan

“Pembonceng motosikal pula cedera di kaki kiri, mulut dan kini dirawat di zon kuning HSA.

"Manakala kedua-dua pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah tampil ke balai polis bagi membuat laporan," katanya.

Menurutnya, kemalangan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis memohon saksi awam yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan bagi memberikan keterangan kepada pihak polis atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Nurulhadi Ali di talian 0195230102,” katanya.