Houthi lancar peluru berpandu hipersonik ke sasaran sensitif di wilayah Israel

Iklan
Kumpulan Houthi di Yemen melancarkan serangan peluru berpandu balistik hipersonik ke beberapa sasaran berhampiran Baitulmaqdis. Gambar fail Agensi

DOHA – Pergerakan kumpulan Houthi di Yemen mendakwa telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik hipersonik jenis Palestine-2 terhadap beberapa sasaran strategik berhampiran Baitulmaqdis yang diduduki rejim Zionis.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen Al-Masirah berkata, operasi ketenteraan itu disifatkan sebagai 'unik' kerana menggunakan peluru berpandu berkepala peledak pelbagai yang direka bagi menyerang beberapa sasaran serentak.

Iklan
Iklan

Menurut Saree, serangan tersebut merupakan sebahagian daripada tindak balas terhadap serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza.

Katanya, tentera Yemen sedang memantau rapat rundingan antarabangsa berhubung penyelesaian konflik di Gaza, namun akan meneruskan operasi ketenteraan terhadap Israel “selagi rejim itu tidak menghentikan pencerobohan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin”.

Iklan

Setakat ini, rejim Zionis mengesahkan sistem pertahanan udara mereka telah mengesan dan memintas sekurang-kurangnya satu peluru berpandu yang dilancarkan dari arah Yemen.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau korban jiwa.

Iklan

Serangan itu dilihat sebagai peningkatan baharu dalam konflik serantau, ketika kumpulan Houthi semakin aktif melancarkan serangan ke atas sasaran Israel dan kapal dagang yang dikaitkan dengan Tel Aviv di Laut Merah serta Teluk Aden, sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin. - Agensi