DBKL belum lulus projek bangunan 60 tingkat di Bukit Damansara

Iklan
DBKL masih belum membuat keputusan muktamad berhubung permohonan pembangunan 60 tingkat di Bukit Damansara.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan pihaknya belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung permohonan pembinaan bangunan setinggi 60 tingkat di kawasan Bukit Damansara.

DBKL dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya kini masih dalam peringkat memproses permohonan pelan susun atur bagi cadangan pembangunan perdagangan di atas tiga lot tanah berkeluasan 3.23 hektar di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut DBKL, pelaksanaan sebarang projek di ibu negara perlu mematuhi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang telah diwartakan pada 28 Mei lalu, selain tertakluk kepada pelbagai syarat teknikal dan proses pandangan awam.

“Setiap cadangan pemajuan perlu mematuhi syarat-syarat teknikal seperti Penilaian Impak Trafik (TIA), Geoteknik, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan lain-lain aspek teknikal berkaitan.

Iklan

“Selain itu, pematuhan terhadap ulasan dan syarat yang dikemukakan oleh agensi teknikal lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi berkaitan lain juga perlu dipatuhi,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

DBKL menjelaskan, keputusan hanya akan dibuat selepas proses libat urus awam dan penelitian teknikal komprehensif dilaksanakan sepenuhnya.

Iklan

“DBKL ingin menegaskan bahawa setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada serta pelan pembangunan yang diwartakan.

DBKL juga komited memastikan setiap pembangunan di Kuala Lumpur dilakukan secara teratur, mampan dan tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan meminta DBKL supaya meneliti terlebih dahulu kesan sampingan sesebuah pembinaan terhadap penduduk sekitar sebelum melaksanakan projek.