Hospital Pantai Cheras berwajah baharu lebih moden, segar

Iklan
Kok Wai (dua dari kanan) bersama Erica Lam (kanan), Soon Mei (dua dari kiri) dan Dr Kamal Amzan (kiri) pada majlis pelancaran wajah baharu Hospital Pantai Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Setelah 30 tahun berkhidmat kepada masyarakat, Hospital Pantai Cheras kini tampil dengan wajah baharu apabila memperkenalkan fasad moden dengan sentuhan segar buat pengunjung.

Lebih daripada sekadar penampilan baharu, rekaan semula bangunan itu mencerminkan komitmen hospital sebagai penyedia penjagaan kesihatan berfokuskan pesakit, penyampaian perkhidmatan mudah diakses serta rawatan penuh belas kasihan.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan berkata, perubahan tersebut turut menjadi simbol pembaharuan janji pihaknya dalam menyampaikan rawatan terbaik kepada masyarakat.

“Selama lebih tiga dekad, hospital ini berdiri sebagai rakan dipercayai keluarga dalam komuniti ini, menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti di samping mengukuhkan institusi keluarga, mengurangkan ketidaksamarataan dan memberikan setiap individu maruah dalam menerima penjagaan.

Iklan

“Itulah tanggungjawab yang kami pikul di IHH Healthcare Malaysia, sama ada di hospital utama kami mahupun di Cheras. Kejayaan bukanlah diukur pada bangunan kami dirikan, tetapi pada kehidupan yang kami sentuh,” katanya di sini pada Ahad.

Majlis pelancaran wajah baharu hospital tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai bersama Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Tengah IHH Healthcare Malaysia, Erica Lam dan Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Cheras, Chong Soon Mei.

Iklan

Sementara itu, Kok Wai berkata, pemasangan fasad baharu itu merupakan simbol pertumbuhan dan kemajuan Hospital Pantai Cheras serta dedikasi dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di Cheras.

“Sejak penubuhannya, ramai keluarga mendapatkan rawatan dan kami yakin melihat hospital ini terus berkembang sambil mengekalkan komitmen mereka kepada komuniti yang dilayani.

“Malah, karnival kesihatan diadakan merupakan kaedah terbaik bagi meraikan majlis ini, sekali gus mengingatkan kita bahawa kesihatan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Hospital Pantai Cheras turut mengumumkan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan akses serta pengalaman pesakit antaranya papan tanda lebih jelas dan mesra di Jabatan Kecemasan, pengubahsuaian wad pediatrik dengan bilik pesakit lebih selesa serta kawasan parkir baharu berdekatan hospital bagi memudahkan lawatan.

Semua penambahbaikan itu, katanya, mencerminkan komitmen hospital dalam memastikan setiap langkah perjalanan pesakit lebih lancar, selesa dan berfokus kepada keperluan pesakit.

Pada majlis itu, Karnival Kesihatan Komuniti bertemakan ‘Langkah ke Arah Kesihatan Lebih Baik’ turut diadakan bagi membolehkan masyarakat menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, selain demonstrasi pertolongan cemas.