JUARA bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan taring apabila membenam PDRM FC dengan jaringan besar 7-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Ahad.
Kemenangan bergaya itu menandakan tujuh kemenangan berturut-turut buat skuad kendalian Xisco Muñoz, sekali gus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga dengan kelebihan lima mata mengatasi pencabar terdekat, KL City FC, yang masih mempunyai satu perlawanan.
Iklan
Iklan
Skuad tuan rumah tampil disiplin mengekang asakan pelawat, namun kekentalan benteng PDRM hanya bertahan hingga minit ke-28 apabila pemain lincah Arif Aiman Hanapi memecah kebuntuan jaringan.
Pemain muda sensasi itu terus menambah derita tuan rumah empat minit kemudian (m-32) apabila menyudahkan peluang kedua peribadinya untuk meletakkan JDT selesa mendahului 2-0 menjelang rehat.
Separuh masa kedua, dominasi Harimau Selatan tidak menunjukkan tanda reda. Bergson da Silva menambah gol ketiga pada minit ke-54 sebelum Eddy Israfilov melebarkan kedudukan kepada 4-0 pada minit ke-67.
Giliran Jairo da Silva pula mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-77, diikuti Romel Morales yang menjadikan kedudukan 6-0 hanya enam minit kemudian (m-83).
Jairo kemudian menambah pesta buat penyokong JDT selepas melengkapkan kemenangan besar dengan gol ketujuh pada minit ke-85 sekali gus menutup persembahan meyakinkan kuasa bola sepak dari selatan itu di Selayang.