GOMBAK – Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita yang juga ibu mentua kepada seorang pemain bola sepak bagi membantu siasatan kes pemalsuan cap pasport imigresen baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan pada 1 Oktober lalu membabitkan empat lelaki warga Pakistan dan seorang wanita tempatan.
Iklan
Iklan
“Kesemua tangkapan masih ditahan reman sehingga Rabu depan.
“Kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada Ahad.
Tangkapan dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Ia hasil maklumat risikan membabitkan sindiket pemalsuan dokumen yang dipercayai beroperasi di sekitar Gombak sejak beberapa bulan lalu.
Difahamkan, pemeriksaan di lokasi serbuan di sebuah kediaman telah menemui pelbagai cap rasmi membabitkan beberapa negara, termasuk Pakistan, Indonesia dan Malaysia yang dipercayai digunakan untuk memalsukan dokumen perjalanan.