IPOH - Seorang pegawai polis maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya hilang kawalan dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 287.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) di sini pada Ahad.
Mangsa, Inspektor Muhamad Helmi Hakim Muhamad Raus, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang lelaki berusia 16 tahun dari arah selatan menuju ke utara telah dilanggar dari belakang oleh motosikal jenis Honda CBR350RS yang ditunggang mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan sebelum mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abang Zainal Abidin berkata, penunggang motosikal Honda Wave hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.