TEMERLOH – Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang pengsan ketika berada di atas pokok kelapa di Taman Jaya 2, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian terbabit, mangsa berusia lingkungan 60-an dipercayai terkandas di atas pokok pada ketinggian kira-kira 9.1 meter.
Difahamkan, mangsa sedang menguji alat memanjat yang dipercayai dibuat sendiri sebelum dilaporkan pengsan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sobree Mohamed Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.52 pagi.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin bersama sebuah jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki telah pengsan dan terkandas di atas pokok tersebut.
“Anggota kemudiannya memulakan operasi menyelamat menggunakan tangga jentera serta sistem takal bagi menurunkan mangsa dengan selamat,” katanya.
Jelasnya, mangsa berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.