KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Tempoh reman terhadap lapan individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes penculikan tiga lelaki di Cherang Ruku, Pasir Puteh, disambung selama dua hari lagi oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid terhadap kesemua suspek berusia antara 20 hingga 46 tahun.
Kesemua mereka yang berbaju lokap berwarna jingga dibawa menggunakan kenderaan Black Maria dan diiringi polis tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi.
Sebelum ini, akhbar melaporkan bahawa kesemua suspek direman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad selepas ditahan pada Khamis lalu dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan di enam lokasi berasingan sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.
Dalam kejadian pada 26 September lalu, tiga mangsa lelaki berusia awal 20-an dikurung di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku sebelum kumpulan suspek menuntut wang tebusan sebanyak RM150,000 daripada majikan mangsa.
Pengadu telah menyerahkan wang berjumlah RM29,000 kepada kumpulan tersebut sebelum tangkapan dilakukan.
Dalam penahanan itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya 15 telefon bimbit, tiga kenderaan termasuk sebuah Audi Q7 dan sebuah pacuan empat roda Nissan Terrano, seutas rantai besi bersama lima mangga, pelitup muka, pengikat kabel serta pakaian yang dipakai ketika kejadian.
Turut dirampas dua pucuk pistol iaitu jenis revolver dan pistol tiruan bertulis “Austria”.
Kes disiasat mengikut Seksyen 385, 342 dan 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahka