BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan kejayaan membawa pulang semua aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai bukti kecekapan, kepimpinan dan kekuatan hubungan diplomatik negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkembangan itu menunjukkan kejayaan besar hasil usaha diplomasi dan kepimpinan Anwar yang sentiasa menitikberatkan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.
“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana kita telah dimaklumkan bahawa semua aktivis negara akan dibawa pulang dari Istanbul ke Kuala Lumpur.
"Saya fikir ini adalah kejayaan besar hubungan diplomatik yang cukup tinggi dan kepimpinan Perdana Menteri yang membolehkan semua aktivis kita ini pulang dengan selamat,” katanya ketika ditemui pada Kempen Jelajah Anti Buli 2025 di Penanti, Ahad.
Menurut Fadhlina, kerajaan akan terus merancang dan memperkukuh misi kemanusiaan bagi memastikan mesej solidariti terhadap rakyat Gaza dapat diteruskan.
"Insya-ALLAH kita bawa mereka pulang dan kita akan rancang semula bagaimana untuk membawa terus mesej dan misi-misi kemanusiaan ini ke hadapan, khususnya bagi terus memberikan sokongan kepada rakyat Gaza,” ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Luar melaporkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel awal Ahad.
Kumpulan itu berlepas dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 3.40 petang waktu tempatan.