PENYERANG Harimau Malaya, Rodrigo Holgado diberikan cuti tanpa gaji oleh kelabnya, América de Cali bagi membolehkannya menyelesaikan isu penggantungan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kelab Colombia itu dalam satu kenyataan memaklumkan, Holgado sendiri telah memohon cuti berkenaan sebelum diluluskan pihak pengurusan pasukan.
Iklan
Iklan
“Rodrigo Holgado telah memohon cuti tanpa gaji untuk pergi ke Malaysia bagi menguruskan secara peribadi isu berkaitan hukuman yang dikenakan ke atas dirinya dan juga persekutuannya oleh badan disiplin FIFA,” jelas kenyataan itu.
Difahamkan, pemain berusia 30 tahun itu sudah berada di Malaysia sejak beberapa hari lalu.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara digantung serta dikenakan denda oleh FIFA selepas didapati bersalah berhubung isu pemalsuan dokumen.
FAM dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta, manakala tujuh pemain terbabit iaitu Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces dan Imanol Machuca digantung 12 bulan selain turut dikenakan denda.
Ketika ini, FAM sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman sebelum mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA.