Rezeki terpijak dapat 12 patin 'kayangan'

Iklan
Ayudin bersama hasil tangkapan lumayan iaitu 12 patin buah hasil Menjala di Sungai Pahang dekat Durian Hijau, Jerantut pada Khamis. Foto ihsan Ayudin

JERANTUT - “Saya ingat biasa-biasa sahaja,  rupa-rupanya jala penuh dengan patin buah. Memang tak sangka rezeki sebesar ini.”

Demikian kata seorang nelayan Sungai Pahang, Ayudin Silmi Muhamad, 30, dari Kampung Durian Hijau di sini, selepas berjaya menaikkan 12 patin buah sekali gus dalam masa satu hari, dengan nilai keseluruhan mencecah lebih RM5,000.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia keluar menjala seperti biasa sekitar jam 10 malam pada Khamis sebelum terkejut apabila jala yang dilempar terasa berat luar biasa.

“Ini paling banyak saya pernah dapat, selalunya dalam lima hingga tujuh ekor dan kali ini paling besar dapat seberat tujuh kilogram.

Iklan

"Bila tengok, rupa-rupanya semua patin buah hidup-hidup. Syukur atas rezeki ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Antara hasil tangkapan Ayudin. Foto ihsan Ayudin

Iklan

Dia mula bergelar nelayan sungai selepas tamat persekolahan berkata, ikan-ikan tersebut dijual kepada peraih di Kuala Krau.

"Duitnya boleh digunakan untuk perbelanjaan keluarga sebaik mungkin kerana bukan selalu dapat dalam jumlah besar sebegini," ujarnya lagi.

Ayudin berkata, harga pasaran ikan tersebut di kawasannya sekitar RM140 hingga RM155 sekilogram dan menjelaskan musim telur pecah menyebabkan ikan itu berkumpul dan lebih mudah dapat ditangkap.

Ditanya jika pernah mendapat patin muncung, bapa kepada seorang cahayamata itu memberitahu, kali terakhir spesies itu pernah dinaikkan oleh rakannya pada 2011.

"Setakat ini, saya tidak pernah dapat bawa pulang patin muncung, kalau patin buah masih boleh dapat di sini," tambahnya.