SHAH ALAM - Tiga daripada sembilan deligasi Malaysia yang menyertai menyertai misi kemanusiaan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalation dan Thousand Madleens to Gaza merupakan anak Terengganu berjiwa kental mengharungi badai serta laut bergelora di Mediterranean.
Mereka ialah Doktor Perubatan dan Ahli Majlis Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Dr Fauziah Mohd Hassan; Pensyarah Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Prof Dr Mohd Afandi Salleh serta doktor perubatan, Dr Hafiz Sulaiman yang menaiki Kapal Conscience.
Matlamat utama penglibatan mereka dalam misi tersebut adalah untuk memecahkan kepungan rejim Zionis demi menyalurkan bantuan kesihatan kepada rakyat Gaza yang menderita dan serta kekurangan.
Menurut perkongsian Mohd Afandi, terdapat persamaan beliau dengan Dr Fauziah iaitu pernah ditahan Israel dan merupakan anak kelahiran Terengganu.
“Dr Fauziah lebih awal ditahan dalam misi 'Women's Boat to Gaza pada 2016 dan saya pada 2018,” katanya menerusi perkongsian di media sosialnya pada Jumaat.
Beliau turut berkongsi keadaan cuaca yang tidak menentu dan laut bergelora menyebabkan ada peserta kurang sihat.
Menyedari kemungkinan untuk mendarat di Gaza tipis, Dr Afandi menyatakan ia merupakan usaha mereka bagi membantu rakyat Gaza.
“Doakan kami selamat tiba ke Gaza dan jika ditahan oleh Israel, doakan keselamatan kami dan doakan kami selamat kembali ke Malaysia,” katanya lagi.
Gelombang ketiga flotilla kemanusiaan berlepas secara berperingkat bermula 30 September lalu menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 bot telah berlepas pada 27 September lalu dari Itali manakala kapal Conscience telah dilancarkan di Porto Otranto, Itali.