SEPANG – Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Malaysian International Humanitarian Center (MIHC) tahun ini bagi memperkukuh operasi bantuan kemanusiaan bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, MIHC ditubuhkan sebagai pusat koordinasi bagi misi antarabangsa dan tempatan, khususnya dalam usaha menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Peruntukan ini bukti kesungguhan kita untuk memastikan usaha Mapim dan MIH dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” katanya pada sidang media di Mapim Central Warehouse, Sepang, malam Jumaat.
Beliau yang juga Penaung Bersama Global Sumud Flotilla (GSF) menjelaskan, MIH dan Mapim bukan hanya menumpukan krisis kemanusiaan antarabangsa, malah turut memainkan peranan penting dalam membantu menangani bencana dalam negara.
Katanya, antara bentuk bantuan termasuklah pengurusan bencana banjir, tanah runtuh dan penyediaan pusat simpanan (warehouse) bagi menyalurkan keperluan segera kepada mangsa.
Beliau menambah, usaha itu perlu mendapat dukungan penuh rakyat kerana ia bukan sahaja mencerminkan semangat keprihatinan, malah menjadi wadah kebersamaan rakyat Selangor dengan masyarakat dunia.
“Kita harap sokongan rakyat akan berterusan melalui Mapim dan MIH. Inilah semangat negeri yang berpegang kepada nilai kesabaran dan kasih sayang, serta menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin,” jelasnya.