'Hamba ALLAH' realisasikan impian anak yatim piatu ke universiti

Iklan
Impian Nur Arissa melanjutkan pengajian ke UUM menjadi kenyataan selepas mendapat bantuan bantuan kewangan daripada beberapa individu dermawan termasuk sumbangan penuh daripada seorang wanita dari Negeri Sembilan. FOTO UUM

ALOR SETAR – “Saya kerja sebab nak sambung belajar. Itu saja niat saya,”.

Itu luahan Nur Arissa Abdul Rahman, 20, kepada pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika mengenang perjuangannya menabung demi menjejak kaki ke menara gading.

Iklan
Iklan

Anak yatim piatu dari Kuala Krai, Kelantan ini akhirnya berjaya melanjutkan pengajian ke universiti tersebut selepas seorang wanita yang enggan dikenali tampil membantu.

Wanita itu hanya mahu dikenali sebagai hamba ALLAH dari Negeri Sembilan tampil membiayai yuran Nur Arissa sepanjang tempoh pengajian.

Iklan

Menurut Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UUM, sumbangan itu difasilitasi menerusi Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) selepas kisah Nur Arissa disampaikan oleh bekas gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 2, sehari sebelum tarikh pendaftaran pelajar baharu.

Kisah gadis tabah itu mula mendapat perhatian selepas dilaporkan bekerja di sebuah kilang di Klebang, Ipoh sebagai pemeriksa cip selama hampir enam bulan demi mengumpul wang yuran pengajian.

Iklan

Nur Arissa yang memperoleh PNGK 3.58 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ditawarkan program Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian di UUM, namun kekangan kewangan menjadi penghalang utama.

Dia kehilangan ibu tersayang akibat kanser ovari ketika berusia sembilan tahun, sebelum ayah tirinya pula meninggal dunia ketika beliau berumur 17 tahun.

Sejak itu, Arissa dan kakaknya hidup sebatang kara.

Kakaknya yang sudah berkahwin tidak bekerja menyebabkan Arissa turut memikul tanggungjawab menyara keluarga kecil mereka.

Pada 27 Sabtu lalu, Pengetua Inasis Proton, Dr Mohd Abidzar Zainol Abidin sendiri turun ke Klebang untuk menjemput Nur Arissa ke Sintok, menandakan permulaan baharu dalam hidupnya.

Tidak lama selepas itu, bantuan kewangan daripada beberapa individu dermawan mula mengalir, termasuk sumbangan penuh daripada wanita dari Negeri Sembilan yang membiayai keseluruhan yuran pengajian Arissa.

“Ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi tanda bahawa ALLAH tidak pernah membiarkan hamba-Nya berjuang sendirian,” kata Nur Arissa lagi.

UUM dalam kenyataan turut memaklumkan bahawa hampir 70 peratus pelajarnya berasal daripada keluarga B40, dan kisah seperti pelajar berkenaan bukanlah sesuatu yang asing di kampus tersebut.

“Kami percaya setiap pelajar punya cerita tersendiri. Di sebalik pencapaian akademik mereka, ada perjuangan yang jarang tersingkap di mata masyarakat,” kata wakil HEPA UUM.