KUALA LUMPUR – Seorang lagi lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan merompak seorang wanita warga China membabitkan kerugian lebih RM2.1 juta, tiga bulan lalu.
Syed Ali Imran Alqudri Syed Zulkefeli @ Syed Zulalqudri, 42, yang bekerja sebagai mekanik membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin.
Tertuduh didakwa bersama dua individu yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas, atas tuduhan merompak Chen Kexue, 31, di sebuah vila di Bukit Damansara di sini, pada jam 10.10 malam 21 Julai lalu.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian melibatkan satu jam tangan bernilai RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300 gram, wang tunai RM100,000 dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan kerugian keseluruhan kira-kira RM2.146 juta.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pendakwaan memohon kadar jaminan ditetapkan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, peguam, Bazlinda Bahri yang mewakili tertuduh merayu, anak guamnya diberi jaminan pada kadar rendah kerana dia perlu menyara isteri dan anak yang berusia 14 tahun.
“Dia yang menghidap penyakit kencing manis dan masalah tulang belakang, telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa di sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Siti Shakirah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 November depan.
Pada 8 Ogos lalu, dua lelaki iaitu Mohd Syaqir Mohd Ami, 30, dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 34, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan serupa.