Harimau Malaya sah terlepas khidmat tujuh pemain warisan

Iklan
Harimau Malaya akan berdepan Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bulan ini. Foto: Bernama

HARIMAU Malaya sah terlepas khidmat tujuh pemain warisan ekoran hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Laos bulan ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat mengumumkan senarai 29 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat kendalian Peter Cklamovski bermula Isnin ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, panggilan itu tidak menyenaraikan tujuh tonggak warisan iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca yang kini digantung daripada beraksi di pentas antarabangsa.

Ia selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM bersama tujuh pemain warisan tersebut dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung isu pemalsuan dokumen.

Iklan

Ketiadaan mereka memaksa pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski merangka strategi baharu dengan memberi kepercayaan penuh kepada barisan pemain tempatan dan naturalisasi lain bagi memastikan skuad kebangsaan tetap kompetitif.

Harimau Malaya akan berdepan Laos di Vientiane pada 9 Oktober sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober 2025.

Iklan

Senarai penuh 29 pemain Harimau Malaya

Penjaga Gol

Azri Ghani, Haziq Nadzli, Syihan Hazmi

Pertahanan

Azam Azmi, Corbin-Ong, Daniel Ting, Declan Lambert, Dion Cools, Dominic Tan, Harith Haiqal, Junior Eldstål, Richard Chin, Shahrul Saad, Quentin Cheng, Ubaidullah Shamsul

Tengah

Afiq Fazail, Endrick dos Santos, Nazmi Faiz, Nooa Laine, Sergio Agüero, Stuart Wilkin

Penyerang

Aliff Izwan, Arif Aiman, Faisal Halim, Jordan Mintah, Paulo Josué, Ramadhan Saifullah, Romel Morales, Safawi Rasid