BALIK PULAU - Seorang peniaga kuih bulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan pemindahan wang syarikat berjumlah lebih RM1.9 juta ke akaun bank miliknya.
Tertuduh, Chuan Chin Ghee, 29, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Berdasarkan pertuduhan, Chin Ghee yang berkhidmat sebagai pegawai akauntan didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat 231 kali pemindahan wang berjumlah RM1,919,899.55 daripada akaun bank syarikat ke akaun bank miliknya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 6 November 2020 hingga 22 Mei 2023 di Wings Freight Express Sdn Bhd di Batu Maung di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta dilarang mengganggu mangsa.
Peguam mewakili tertuduh, M Puveneswaran memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan jaminan bukan satu bentuk hukuman, selain anak guamnya sudah berkahwin dan baru menimang cahaya mata sulung dua bulan lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, berserta syarat tambahan seperti yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Kes akan disebut semula 13 November depan.