Jual 100 kg minyak masak terpakai, dapat lebih RM300

Iklan
Muhammad Iman (kiri) menghantar minyak masak untuk dikitar semula di sebuah pusat pengumpulan di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga memperoleh sumber pendapatan sampingan dengan mendapat lebih RM300 bagi 100 kilogram (kg) minyak masak terpakai yang dijual di sebuah pusat kitar semula di sini.

Muhammad Iman Mohd Rosnizainal, 22, berkata, hasil jualan minyak masak terpakai bukan sahaja memberi pulangan lumayan malah membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Iklan
Iklan

“Hari ini sahaja saya bawa 100.7 kg minyak, dapat RM332.31. Selalunya saya kumpul dalam tiga hingga empat bulan sekali. Daripada membazir, lebih baik jual, ada juga hasil.

“Harga di sini lebih mahal berbanding tempat lain. Jadi memang berbaloi hantar ke pusat pengumpulan minyak masak terpakai ini,” katanya ketika ditemui di pusat pengumpulan minyak masak terpakai di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, baru-baru ini.

Iklan

Dia turut berharap lebih ramai peniaga dan orang ramai menyokong usaha kitar semula minyak masak terpakai kerana ia dapat memberi manfaat bersama.

“Saya harap lebih ramai yang celik akan usaha mengumpul minyak masak terpakai dan tidak membuangnya begitu sahaja kerana dibimbangi persekitaran tercemar, selain pembaziran sumber,” ujarnya.

Iklan

Mohd Lokman menapis semula minyak masak terpakai yang dihantar pelanggan di pusat pengumpulan minyak masak terpakai di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Sementara itu, pekerja kilang minyak masak terpakai, Mohd Lokman Mamat, 39, berkata, kesedaran masyarakat masih rendah walaupun inisiatif tersebut mampu menjana pendapatan tambahan.

Jelasnya, sebahagian besar minyak masak terpakai yang dikumpulkan datang daripada peniaga makanan, selain ada juga yang dijumpai di tempat pembuangan sampah sebelum dihantar ke pusat pengumpulan.

“Pelanggan tidak menentu, ada hari ramai, ada hari kurang. Paling banyak kami pernah terima lebih 700 kilogram dalam sehari, kadang-kadang hanya empat pelanggan sahaja yang datang,” ujarnya.

Mengulas mengenai harga minyak masak terpakai, katanya kilang tersebut masih menawarkan harga yang kompetitif bagi minyak yang dihantar ke situ.

“Harga belian di sini ialah RM3 sekilogram bagi minyak bawah 100 kg manakala lebih 100 kg dibeli pada kadar RM3.30 sekilogram.

“Minyak yang diterima akan ditapis dahulu sebelum dihantar ke kilang berpusat di Indera Mahkota, Kuantan,” jelasnya.