KENYATAAN Wisma Putra semalam mengenai pelan damai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mungkin disambut dengan sedikit kontroversi oleh sebahagian warganet yang tersalah tafsir makna mengalu-alukan sebagai “menyokong” atau “menerima” Pelan 20 Perkara Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, untuk Gaza.
Hakikatnya, kenyataan Wisma Putra bertarikh 30 September hanyalah kenyataan diplomatik yang mengalu-alukan usaha ke arah penghentian perang, sambil menegaskan beberapa pra-syarat penting: pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perlindungan rakyat Palestin, prinsip keadilan serta akauntabiliti, dan penyelesaian muktamad yang mesti menuju kepada penubuhan sebuah negara Palestin merdeka berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Tiga Perkara Pokok
Dalam siaran media Wisma Putra pada 30 September, terdapat tiga perkara pokok yang harus difahami.
Pertama, Malaysia menyatakan bahawa ia mengalu-alukan usaha Presiden Trump dan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Gaza melalui pelan yang diumumkan.
Kedua, Malaysia menzahirkan harapan agar pelaksanaan pelan itu dibuat dengan penuh keikhlasan, termasuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa halangan, pasukan Israel berundur, rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa dapat pulang, serta usaha pemulihan Gaza dapat dijalankan.
Ketiga, Malaysia menegaskan bahawa pelaksanaan mana-mana pelan hendaklah selaras dengan undang-undang antarabangsa, Piagam PBB serta resolusi-resolusinya, di samping menjamin perlindungan rakyat Palestin, serta menegakkan prinsip keadilan dan akauntabiliti.
Akhirnya, Malaysia menegaskan hala tuju muktamad mestilah menuju kepada penubuhan negara Palestin merdeka berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Mungkin salah faham tersebut kerana tajuk kenyataan Wisma Putra berbunyi positif, “Malaysia commends”, sehingga ada yang menyangka Malaysia menyokong tanpa syarat. Namun jika dibaca penuh, jelas terdapat syarat-syarat tegas yang digariskan.
Kedua, tajuk ringkas yang dipetik oleh media antarabangsa dan tempatan kadangkala tidak memasukkan perenggan penegasan penting, lalu menimbulkan tafsiran salah.
Ketiga, ramai yang tidak meneliti kandungan penuh 20 Perkara Trump, lalu menyangka Malaysia bersetuju dengan keseluruhan isi pelan tersebut.
Pelan 20 Perkara Trump sebenarnya amat kontroversial. Ia merangkumi cadangan gencatan senjata, pertukaran tebusan dan tahanan, pelucutan senjata Hamas, penubuhan sebuah badan antarabangsa bernama “Board of Peace” diketuai Trump dengan Tony Blair dilantik sebagai peneraju utama, pengunduran berfasa tentera Israel, penempatan pasukan keselamatan antarabangsa (ISF), pentadbiran teknokrat sementara, serta janji pembangunan ekonomi berskala besar.
Namun, pelan ini gagal menjamin hak rakyat Palestin secara menyeluruh.
Pertama, cadangan gencatan senjata dan pembekuan garis hadapan berisiko mengekalkan status quo yang memihak kepada Israel, sekali gus mengabadikan ketidakseimbangan kuasa.
Kedua, pertukaran tebusan dan tahanan hanya menyelesaikan isu sementara tetapi tidak menyentuh akar konflik — hak tanah dan penindasan berdekad-dekad.
Ketiga, pelucutan senjata Hamas dilakukan tanpa sebarang jaminan keselamatan yang setara, menyebabkan Gaza bakal terus dipantau dan dikawal pihak luar.
Keempat, bantuan kemanusiaan memang disebutkan, namun mekanisme penyaluran diletakkan di bawah kawalan pihak luar dengan risiko Israel mengekalkan kuasa veto keselamatan.
Kelima, pentadbiran teknokrat sementara di bawah pengawasan “Board of Peace” yang diketuai tokoh asing jelas berbau neo-kolonial, kerana rakyat Palestin diketepikan daripada menguruskan wilayah mereka sendiri.
Keenam, janji pembangunan ekonomi tidak menjawab tuntutan hak politik yang lebih mendasar. Apa gunanya lapangan terbang atau pelabuhan moden jika ruang udara dan laut Gaza masih dikuasai Israel?
Ketujuh, pelan ini tidak menjamin langsung hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah asal mereka, sesuatu yang merupakan hak sejarah dan hak asasi.
Kelapan, walaupun disebut bahawa tentera Israel akan berundur, pengunduran itu bersyarat dan Israel tetap mengekalkan perimeter keselamatan. Ini bermakna pendudukan de facto akan berlanjutan.
Kesembilan, jika Hamas menolak pelan tersebut, Trump mencadangkan ia tetap dilaksanakan di kawasan “bebas terror”, sekali gus membenarkan pelaksanaan unilateral oleh Israel.
Kesepuluh, cadangan dialog antara agama hanyalah langkah kosmetik yang tidak menyelesaikan isu keadilan undang-undang, pampasan dan akauntabiliti jenayah perang.
Akhir sekali, janji “laluan” kepada penentuan nasib sendiri bagi Palestin hanyalah bersyarat dan tanpa jaminan penubuhan negara Palestin berdaulat. Dengan kata lain, pelan ini mengekalkan ketidakseimbangan kuasa dan menangguhkan aspirasi kenegaraan rakyat Palestin.
Pendirian Konsisten Malaysia
Kenyataan Wisma Putra semalam selaras dengan prinsip lama Malaysia bahawa sebarang penyelesaian mestilah berlandaskan undang-undang antarabangsa, melindungi hak rakyat Palestin, menegakkan keadilan dan akauntabiliti, serta menuju kepada penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Pendirian Malaysia terbukti konsisten apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Oktober mengecam keras pemintasan flotila bantuan oleh Israel.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia hanya menyokong perdamaian berasaskan keadilan, bukannya perdamaian yang membekukan ketidakadilan.
* Prof Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pembangunan) Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia