Polis terima tiga laporan terhadap pelakon isu roboh surau

Iklan
Noor Hisam (dua dari kiri) menyantuni bekas Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat (dua dari kanan) sempena Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Warga Kerja PDRM Kontinjen Perak Tahun 2025 pada Khamis.

IPOH – Polis telah menerima tiga laporan terhadap seorang aktivis dan pelakon berhubung isu bantahan perobohan sebuah bangunan surau di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ketiga-tiga laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Rabu susulan insiden yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya setakat ini belum memanggil mana-mana individu untuk diambil keterangan dan masih menunggu perkembangan seterusnya.

"Buat masa ini tidak berlaku sebarang pencerobohan di kawasan surau tersebut kerana mahkamah telah mengeluarkan perintah penangguhan kerja-kerja meroboh sehingga 8 Oktober ini.

Iklan

"Kita berharap semua pihak bertenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu proses undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Warga Kerja PDRM Kontinjen Perak Tahun 2025 di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Noor Hisam turut mengesahkan, tidak berlaku sebarang perhimpunan bantahan daripada orang ramai di tapak surau terbabit pada Khamis sepertimana maklumat yang dihebahkan di media sosial.

Sebelum ini, dalam satu perkongsian video, aktivitis wanita itu mendakwa tindakan meroboh bangunan surau terbabit bagi pembinaan jalan sebagai melampau.

Beliau turut mengajak orang ramai turun berhimpun di tapak surau pada 2 Oktober bagi menyokong bantahan tersebut.

Terdahulu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa isu bangunan itu telah lama diselesaikan dengan pemindahan surau ke tapak baharu yang diwakafkan secara sah atas nama MAIPk iaitu kira-kira 250 meter dari tapak asal.

Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini mengingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan isu berkenaan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.