Datuk, tiga lagi individu didenda RM100,000 gagal lapor rasuah

Iklan
Teck Ann hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi satu pertuduhan kes rasuah pada Khamis. Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan tiga lagi individu didenda masing-masing RM100,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan gagal melaporkan kes suapan antara RM500,000 hingga RM3.5 juta dikaitkan dengan tertuduh kes pembinaan Lebuhraya MEX II yang tidak wujud pada 2017 dan 2018 lalu.

Ahli perniagaan, Datuk Lim Kim Hai, 50; pengusaha kebun tembikai, Ang Teck Ann, 52; penjaga stor, Lee Keng Long, 37, dan perunding bebas, Chan Chee Keong, 67, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan dua hakim iaitu Rosli Ahmad dan Suzana Hussin.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh dipenjara antara tiga hingga 10 bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, Kim Hai didakwa telah diberi suapan wang RM3.5 juta oleh bekas Pengarah Syarikat Mex II Sdn Bhd, Datuk Yap Wee Leong sebagai upah mendapatkan tiga syarikat subkontraktor untuk syarikat Golden Base Construction Sdn Bhd.

Iklan

Tiga syarikat subkontraktor berkenaan ialah Villas Hub Sdn Bhd, Jade Centennial Sdn Bhd dan Bidang Bakat Sdn Bhd dengan melanggar peruntukan Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara Chee Keong dan Teck Ann pula didakwa diberi suapan daripada Kim Hai iaitu wang masing-masing RM1.4 juta dan RM500,000 sebagai upah menjadi orang perantara untuk mendapatkan tiga syarikat subkontraktor yang sama bagi Golden Base Construction.

Iklan

Chee Keong hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi satu pertuduhan kes rasuah pada Khamis. Foto Sinar Harian

Keng Long pula didakwa telah diberi suapan berjumlah RM500,000 oleh Kim Hai sebagai upah tertuduh meminjamkan syarikat miliknya, Villas Hub, Jade Centennial dan Bidang Bakat Kim Hai untuk dijadikan sebagai subkontraktor kepada Golden Base Construction.

Kesalahan didakwa dilakukan pada Jun 2017 dan 2018 sekali gus melanggar peruntukan seksyen 16(b)(A) SPRM 2009.

Disebabkan semua tertuduh gagal melaporkan pemberian suapan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah seksyen 25(2) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan lima Timbalan Pendakwa Raya iaitu Mohammad Fadhly Mohd Zamry, Hazel Tan Jia Qi, M Esther Jacyntha, Nurul Izzati Sapifee dan Nidzuan Abdul Latif.

Pembelaan bagi tertuduh Teck Ann, Chee Keong dan Keng Long diwakili peguam, Ramalingam Karuppiah sementara Kim Hai diwakili peguam, Datuk Seri James Chow.

Semasa prosiding, pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan tidak membantah sekiranya mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda pada kadar maksimum.

Pendakwaan juga memohon harta-harta berkaitan iaitu wang tunai seperti yang terlibat dalam pertuduhan, dilucut hak kepada Kerajaan.

Sementara itu, pembelaan merayu setiap anak guam dikenakan hukuman denda pada kadar minimum kerana telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa selain insaf atas kesalahan yang dilakukan.

Selepas mendengar permohonan berkenaan, kedua-dua hakim memerintahkan wang berkaitan kesalahan tersebut, yang disita daripada semua tertuduh dilucut hak kepada kerajaan melalui SPRM.