CENERGI SEA Berhad (Cenergi), anak syarikat UEM Lestra Berhad berjaya merangkul tiga anugerah di bawah kategori Tenaga Boleh Diperbaharui Atas Grid (Grid Kebangsaan) pada Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Kwok Yew Hoe berkata, pengiktirafan itu turut menyerlahkan status syarikat sebagai pembangun Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) grid bersambung terbesar di Malaysia dengan 21 loji beroperasi di seluruh negara.
“Sejak mula beroperasi pada tahun 2013, Cenergi telah membangunkan portfolio yang pelbagai merangkumi bioenergi, solar dan hidro kecil. Selain itu, kami menjadi perintis dalam inovasi pembiayaan karbon.
“Loji Janakuasa Biogas Cenergi Langkap 1.56MW merupakan projek kredit karbon berasaskan teknologi pertama di Malaysia dan diperdagangkan di Bursa Carbon Exchange (BCX) tahun ini. Syarikat ini juga menjadi ahli pengasas Persatuan Pembangun Projek Biogas (BPDA),” katanya pada NEA 2025 di Hotel Hilton Kuala Lumpur.
Terdahulu, Cenergi menerima pengiktirafan menerusi tiga projek utama iaitu Loji Janakuasa Biogas Cenergi West 1.56MW di Pulau Carey, Selangor sebagai pemenang kategori Loji Janakuasa Biogas Berprestasi Tinggi dengan fokus tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Naib juara pula ialah projek Cenergi NEDA Power Sg Tiang 11.3MWp di Kedah yang diiktiraf sebagai penjana solar merchant pertama di Malaysia serta ladang PV agrivoltaic.
Sementara itu, projek Loji Janakuasa Biogas Cenergi Langkap 1.56MW di Perak pula menerima merit sebagai projek kredit karbon berasaskan teknologi pertama di Malaysia.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam pada itu, Yew Hoe berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen syarikat dalam memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga lestari negara.
“Cenergi akan terus memberi tumpuan kepada inovasi baharu dalam memanfaatkan sisa sebagai sumber tenaga di samping mengurangkan pelepasan karbon.
“Kami membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada pengguna melalui produk elektrik daripada biogas, solar dan hidro kecil, biometana daripada sisa kelapa sawit serta Kredit Karbon dan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (RECs),” katanya.
Tambahnya, syarikat itu turut menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi khususnya dalam memanfaatkan sisa pertanian bagi peralihan tenaga serta menggalakkan penglibatan universiti tempatan.
"Usaha ini seiring dengan agenda negara memperkukuh tenaga boleh diperbaharui melalui pengiktirafan terhadap projek-projek lestari yang dilaksanakan Cenergi.
"Cenergi juga mengakui peranan penting Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang dasar serta sokongan mereka terus mendorong penerimaan meluas inisiatif tenaga boleh diperbaharui di seluruh negara,” ujarnya.
NEA 2025 dianjurkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) untuk meraikan organisasi serta projek menonjol dalam kecemerlangan, inovasi dan kepimpinan usaha peralihan tenaga negara.