'Program Makanan Bergizi Gratis tiada cacat cela'

Iklan
Matlamat utama program ialah untuk memberi nutrisi yang cukup kepada murid dan pelajar di seluruh Indonesia.

JAKARTA - Sejak beberapa minggu lalu, program Makan Bergizi Gratis (MBG) yang diperkenalkan pentadbiran Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berdepan beberapa isu panas tidak sedap didengar di tengah-tengah situasi yang masih belum stabil di negara itu setelah berdepan siri demonstrasi ganas.

Prabowo akhirnya tampil dan mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan MBG selepas ribuan mangsa mengalami keracunan makanan.

Iklan
Iklan

Pemimpin itu menegaskan kes tersebut kekal sebagai pecahan kecil berbanding jumlah keseluruhan penerima program percuma tersebut.

“Seramai 30 juta kanak-kanak dan ibu hamil terima makanan pada setiap hari. Ya, saya akui ada kekurangan dalam beberapa segi tetapi jumlah peratusan penerima yang hadapi masalah hanyalah 0.0017 peratus.

Iklan

Jumlah mangsa keracunan makanan akibat program MBG meningkat kepada lebih 8,000 orang.

“MBG tiada cacat cela,” katanya dengan yakin di Hotel Sultan, Jakarta Tengah pada Isnin.

Iklan

Prabowo juga menyatakan ‘kes terpencil’ itu tidak menandakan kegagalan program perdana itu, malah beliau turut membandingkan pencapaian MBG dengan inisiatif makanan percuma di Brazil yang mencecah kira-kira 47 juta penerima dalam setahun.

“Dalam tempoh 11 bulan, kita telah mengagihkan kepada 30 juta penerima,” katanya sambil menambah fokus utama MBG ialah membantu kanak-kanak yang hanya mengalas perut dengan nasi berlaukkan garam.

Menurutnya, pemerintah kini sedang berusaha mengelakkan kejadian berulang kes keracunan makanan melalui prosedur operasi standard lebih ketat untuk Unit Pemenuhan Perkhidmatan Pemakanan (SPPG).

Ia termasuk memperkenalkan ujian merasa makanan sebelum diedarkan serta langkah pencegahan lain.

“Program MBG akan diteruskan dengan matlamat untuk mencapaihingga 82.9 juta penerima pada 2025. Memang ada kekurangan, tetapi manfaatnya kepada kumpulan tersenarai amat besar,” ujarnya lagi. - Agensi

Info

>Insiden keracunan makanan kerana MBG terus meningkat sejak akhir Julai hingga Ogos. Terbaharu melibatkan 1,309 pelajar di Bandung Barat.

>Data Agensi Makanan dan Ubat-ubatan Indonesia mendapati terdapat 103 kes keracunan makanan dilaporkan. Dalam tempoh sembilan bulan, kira-kira 9,089 kanak-kanak terjejas akibat insiden itu.

>Sebagai respons, pemerintah mengadakan mesyuarat penyelarasan rentas kementerian dihadiri Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan, Zulkifli Hasan; Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin; Ketua Agensi Pemakanan Negara, Dadan Hindayana; Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian; Menteri Setiausaha Kerajaan Negeri, Prasetyo Hadi dan pegawai atasan lain termasuk Ketua Staf Presiden, Ketua Agensi Pemantauan Makanan dan Dadah serta Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak.

>Susulan mesyuarat itu, enam usaha pembaikan telah dicadangkan:

Menutup unit SPPG yang bermasalah.

Menilai kecekapan dan disiplin kesemua tukang masak.

Mensteril peralatan memasak dan meningkatkan kebersihan.

Memperkukuh pemantauan oleh kementerian dan kerajaan wilayah.

Mewajibkan pensijilan kebersihan dan sanitasi untuk semua dapur MBG.

Pusat kesihatan awam dan unit kesihatan sekolah untuk melakukan pemantauan rutin terhadap SPPG.