Murid lelaki Tahun Empat disahkan meninggal selepas ditemui tidak sedarkan diri di sekolah

Iklan
Fadhlina ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga kanak-kanak terbabit pada Rabu.

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang murid lelaki Tahun Empat sebuah sekolah kebangsaan di Senawang, di sini ditemui tidak sedarkan diri di sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia pada Rabu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.19 tengah hari dan sepasukan polis telah ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, kanak-kanak ini dikatakan telah meninggalkan kelas pada jam 12.10 tengah hari sebelum ditemui tidak sedarkan diri.

"Mangsa kemudian telah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut namun telah disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan punca dan kronologi kejadian serta memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian dalam masa terdekat.

Kelihatan kenderaan polis di sekolah di mana kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui tidak sedarkan diri.

Iklan

"Banyak yang kami perlu perhalusi berdasarkan siasatan jadi ia mengambil sedikit masa sebelum dimaklumkan kepada media,"katanya.

Sementara itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga kanak-kanak terbabit tidak dapat menyembunyikan rasa sedih berhubung kejadian berlaku.

Menurut Fadhlina, pihaknya menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis dan bersedia memberikan kerjasama.

"Saya merakamkan takziah kepada keluarga atas kejadian berlaku dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga ketika ini dari segi sudut emosi dan sosial.

"Jadi, kita mohon untuk semua dapat memberikan kerjasama dari segi menjaga emosi keluarga ini dan juga mengelakkan sebarang spekulasi yang tidak benar, sementara menunggu siasatan penuh," katanya.

Tambahnya, bagi memastikan emosi anak-anak dan guru di sekolah terbabit berada dalam keadaan baik, KPM akan memberikan intervensi piskososial kepada mereka.

Jelasnya, intervensi tersebut akan dilaksanakan secara menyeluruh bermula esok secara berterusan yang akan dikendalikan oleh kaunselor sekolah.

"Jadi kita mohon diberikan ruang kerana apa yang berlaku ini sangat menyedikan kita.

"Aktiviti persekolahan di sekolah itu seperti biasa, tetapi macam saya sebut tadi, kita akan teruskan dengan intervensi," katanya.