SEREMBAN - Kedai runcit dan serbaneka serta pasar mini di sekitar Senawang, di sini dilihat mematuhi larangan pameran produk rokok secara terbuka di kaunter jualan seperti ditetapkan di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024 yang mula berkuat kuasa pada Rabu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan premis mengambil langkah menutup rak pameran rokok sedia ada dengan plastik selain ada yang menyediakan rak khas bertutup bagi memastikan produk tembakau itu tidak kelihatan kepada pelanggan.
Seorang pengusaha kedai runcit, Muhammad Abdullah, 24, berkata, beliau telah mengambil inisiatif menutup ruang pameran rokok lebih awal iaitu sejak Selasa.
“Saya dapat maklumat larangan ini daripada hebahan media. Sebelum ini rokok dipamerkan di rak terbuka, tapi sekarang saya tutup dahulu dengan plastik hitam sementara waktu.
“Kemungkinan rak khas akan disediakan oleh syarikat pengeluar rokok kemudian. Bagi saya, tiada masalah untuk akur dengan peraturan ini kerana ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk kurangkan jumlah perokok,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam, Nursyazwina Shaharudin, 26, memaklumkan bahawa pihaknya mula menutup ruang pameran rokok dengan plastik seawal jam 7 pagi, Rabu.
“Kami dah terima notis larangan sejak bulan Mei, tapi kerana rak khas belum dipasang oleh vendor, kami ambil inisiatif tutup dahulu dengan plastik gelap.
“Sebab hari ini mula kuat kuasa, jadi kami bimbang kalau ada pemeriksaan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga runcit, Mrs Sim, 65, berkata, dia telah menghentikan penjualan rokok sejak Mac lalu selepas mendapati permintaan pelanggan merosot secara drastik.
“Jual satu karton pun susah nak habis dalam seminggu, mungkin sebab rokok mahal satu kotak RM17.40 jadi orang dah tak beli. Lagi pula ramai beralih kepada rokok elektronik, jadi bisnes rokok memang perlahan.
“Selain itu, nak mohon lesen pun leceh dan banyak syarat. Jadi lebih baik tak jual langsung. Suami saya pun dah tak mahu jual lagi,” katanya yang telah mengusahakan kedai runcit lebih 20 tahun bersama suami.
Peraturan baharu ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengawal penjualan produk rokok dan melindungi kesihatan awam, terutama dalam kalangan remaja dan generasi muda.