SEPANG - Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) menyeru semua pihak tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau cubaan halus oleh pihak rejim Zionis untuk melemahkan barisan solidariti antarabangsa, Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ia berikutan zon merah merupakan kawasan berisiko tinggi yang terletak berhampiran perairan Gaza, iaitu kawasan yang dikawal ketat oleh rejim Zionis.
"Zon tersebut juga dianggap sebagai garisan tidak rasmi yang mana misi kemanusiaan seperti GSF sering berdepan cabaran besar dalam usaha menembusi sekatan laut Israel untuk menghantar bantuan terus ke Gaza," katanya selepas sidang media berhubung perkembangan delegasi Misi GSF di Mapim Central Warehouse, Bandar Serenia di sini pada Rabu.
Terdahulu, seramai 34 rakyat Malaysia menyertai Misi GSF bagi membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan untuk memecahkan kepungan Israel.
Ditanya mengenai risiko berada di zon merah berdasarkan pengalaman lalu, Sani Araby berkata, Israel berkemungkinan besar melakukan taktik pintasan, penahanan dan penundaan kapal ke pelabuhan Ashdod, diikuti dengan proses tahanan sehingga 20 jam sebelum sukarelawan dibebaskan atau dihantar keluar.
Beliau menjelaskan, simulasi telah dibuat bagi menilai kemungkinan ancaman, sama ada dilakukan pada waktu siang atau malam.
"Bagaimanapun, setakat ini peluang pintasan malam telah berlalu dan jika cubaan pintasan dilakukan, ia dijangka berlaku pada waktu siang atau apabila flotilla mula memasuki zon merah malam ini.
"Misi flotilla ini bersifat aman, bebas daripada keganasan serta dilakukan di perairan antarabangsa yang tidak melanggar sebarang undang-undang," katanya.