Pemandu MPV rempuh tol, tinggal syabu RM3.3 juta

Iklan
Mohd Yusri

PETALING JAYA - Tindakan seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) melarikan diri selepas merempuh palang di Plaza Tol Damansara pada Isnin membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu bernilai RM3.3 juta di dalam kenderaan tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pihaknya mengesan sebuah MPV jenis Maxus berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 18 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Iklan
Iklan

"Kita telah mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun pemandu berkenaan enggan memberikan kerjasama dan bertindak melarikan diri sehingga merempuh palang tol dan meninggalkan kenderaan terbabit di lorong kanan plaza tol itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, pemeriksaan lanjut menemui enam karung guni berwarna hijau, masing-masing berisi 25 bungkusan kecil.

Iklan

"Secara keseluruhan, 150 peket seberat kira-kira 150 kilogram dadah jenis syabu telah dirampas. Kesemua rampasan termasuk kenderaan tersebut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Iklan

Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek yang telah melarikan diri dalam kejadian itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Izzat Norezaini di talian 016-8289910 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.