SHAH ALAM - Aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang juga penyanyi, Zizi Kirana sempat menitipkan pesanan buat adiknya, Nurul Nazielah menerusi Instagram Story dipercayai sebelum konvoi tersebut memasuki zon kuning.
Nurul Nazielah menerusi Threads sempat berkongsi tangkap layar IG story kakaknya itu yang memaparkan gambar mereka berdua.
"Ini adik perempuan saya, anak kedua selepas saya. Jika apa-apa berlaku kepada saya, dialah yang akan menggantikan tempat saya sebagai kakak sulung.
"Kakak Ela, terima kasih untuk kasih sayang sejak kecil bersama-sama. Kita tidak pernah gaduh. Tak boleh berpisah, kalau berpisah sekejap pun mesti menangis," tulis Zizi Kirana.
Beliau meluahkan bahawa adiknya itu seorang wanita yang sangat kuat walaupun kadang-kadang boleh menjadi sedikit emosional.
"Jaga diri kamu dan keluarga kita dengan baik. Jadilah contoh yang baik untuk adik-adik kita dan tolong jaga ibu.
"Berilah kasih sayang tanpa syarat kepada ibu dan adik-adik. Semoga ALLAH sentiasa melindungi kamu semua dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, saya sangat menyayangi kamu, Kakak Ela.
Dalam pada itu, Nurul Nazielah juga meluahkan kasih sayang yang sangat mendalam terhadap kakaknya itu selain tidak ketinggalan mengesan kedudukan Zizi dan konvoi GSF menerusi tracker konvoi berkenaan.
"Kami jarang meluahkan perasaan antara adik-beradik di media sosial tapi misi Kak Zizi ke Gaza saya jadi lebih emosi. Setiap hari tengok tracker dan bertanya dalam grup.
"Tiada siapa yang tidak risau, dia satu-satunya kakak saya. 'But end of the day' semuanya ALLAH yang pegang.
"Ya Rabb. Seluruh hamba-hamba-Mu mendoakan Global Sumud Flotilla dapat menyelesaikan misi mereka dengan selamat. Kita sama-sama doa okay semua," kongsinya.